The A List

Bina Legasi Umur 19 Tahun & Raih Jualan 6 Angka, IDDIN SYAH Kini ADa 18 Ribu Ejen!

Share on facebook
Facebook
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on twitter
Twitter

Seawal usia 19 tahun, Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi sudah mempunyai hala tuju jelas untuk mengemudi empayar perniagaan. Meskipun tidak memiliki pengetahuan luas dalam bidang keusahawanan waktu itu dan tiada di antara ahli keluarganya yang melibatkan diri dalam dunia perniagaan namun minat Iddin untuk berniaga mula bercambah sejak dia berada di bangku sekolah lagi.

Niat yang pada awalnya mahu berdikari mencari wang saku lama-kelamaan memberi idea dan kerjaya serius buat anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini.

Apatah lagi dia bukan berasal dari keluarga senang dan nekad mengubah nasib keluarga. Bersandarkan minat dan desakan hidup, Iddin melangkah berani mengeluarkan produk niaga sendiri saat dia masih bergelar penuntut universiti.

Lebih manis, produk Extra Skin White atau lebih dikenali sebagai ESW sudah menembusi pasaran Malaysia dan luar negara selama lapan tahun!

Menceritakan kembali perjalanan awal dalam arena perniagaan, graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam Universiti Sains Malaysia ini dengan penuh semangat membuka bicara.

Katanya, salah satu faktor utama dia memilih produk suplemen adalah kerana mahu membantu rakan sebaya yang mengalami masalah kulit.

“Semuanya tercetus lepas saya habis belajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Faktor yang mendorong saya pilih produk suplemen ini sebab waktu di kolej dulu saya nampak kebanyakan kawan-kawan lelaki mengalami masalah kulit. Misalnya jerawat, parut dan kulit kusam yang mana mereka tiada inisiatif untuk atasi masalah tersebut.

Memandangkan saya memang suka bab penjagaan kulit, imej dan penampilan, jadi saya rasa terpanggil untuk membantu golongan lelaki di luar sana memiliki kulit sihat sekaligus menjaga penampilan mereka.

Produk suplemen ini adalah penyelesaian kepada masalah kulit mereka secara keseluruhan, bukan hanya luaran tetapi juga dalaman termasuk seluruh badan.

Jujurnya saya berniaga semasa belajar di matrikulasi dan USM lagi. Tahun akhir di USM saya tercalon dalam Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi.

Sebelum produk ESW dihasilkan, waktu saya berumur 20 tahun, saya terlebih dahulu menjual produk orang lain. Hasil berniaga produk orang tadi saya berjaya kumpul RM60,000. Itulah modal saya untuk memulakan bisnes ESW Beauty.”

Menjadikan tokoh usahawan terbilang, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai sumber inspirasi dalam bisnes, Iddin meluahkan rasa syukur kerana rezekinya dalam bidang ini mengalir bagai air di lautan.

“Selepas dua tahun menjual ESW Beauty saya meraih pulangan mencecah RM300,000 iaitu lima kali ganda daripada modal permulaan. Sepanjang lapan tahun bergelar usahawan, saya sudah mampu ada wisma sendiri, 50 pekerja dengan 18,000 agent ESW di seluruh negara.”

Tambah Iddin, kejayaannya hari ini adalah berkat usaha kakitangan dan ejen ESW Global yang bersungguh-sungguh mahu mengubah nasib mereka. Seperti usahawan lain, Ketua Pegawai Eksekutif ESW Global Group Sdn Bhd ini mengakui tidak terlepas diuji dengan pelbagai cabaran.

“Semua perniagaan pernah mengalami kegagalan. Tetapi bagaimana kita selesaikan ujian tersebut dan bangkit semula adalah penting. Saya pernah alami kegagalan apabila akaun bank daripada RM700,000 berkurangan sampai RM20,000.

Nak bayar duit staf waktu itu pun susah. Ia mengajar saya erti dunia perniagaan sebenar kerana apabila kita berniaga kita perlu ada ilmu, bukan seperti makan gaji yang hujung bulan dah tentu ada duit.

Sebaliknya bisnes ini umpama kita bermain dengan ‘soal hati’. Maksudnya hati kena selalu bersih untuk terus maju dalam bisnes dan bebas hasad dengki. Saya ambil kegagalan tersebut untuk dijadikan sebagai pengajaran supaya berusaha tingkatkan lagi ilmu dan perlu ada mentor untuk beri semangat.

Salah satu sebab saya mengagumi kredibiliti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary ialah kerana kemampuan beliau membina yayasan dan membantu ramai golongan Bumiputera.

Kalau tiada mentor dan ilmu, ibarat kita memandu kereta tapi tak tahu ke mana destinasi yang mahu kita pergi dan kena jelas dengan matlamat sebenar dalam berniaga,” pesannya yang turut menjadikan bapa tersayang, Muhamad Fuzi Othman sebagai idola kehidupan.

Artikel ini di petik dari Bina Legasi Umur 19 Tahun & Raih Jualan 6 Angka, IDDIN SYAH Kini Ada 18 Ribu Ejen! – Nona

Scroll to Top